Isnin, 4 April 2011

Aksi bagaikan juara..

LONDON: Alex Ferguson melaungkan amaran kepada pencabar Manchester United pasukannya memiliki perwatakan sebagai juara Liga Perdana Inggeris menjelang tujuh perlawanan terakhir musim ini.Pendahulu liga itu bangkit daripada ketinggalan dua gol menentang West Ham United untuk menang 4-2 di Upton Park, dengan Wayne Rooney menjaringkan hatrik sekali gus mengubah rentak perlawanan itu.“Kami bermain bagaikan juara,” kata pengurus United, Ferguson. “Kami tidak hilang keyakinan dengan keupayaan kami. Ia memang hebat, satu rangsangan buat kami.“Kami menguasai babak kedua dan berhak untuk menang, ia benar-benar satu persembahan sebuah pasukan juara. Arsenal ada kelebihan kurang satu perlawanan dan ia mungkin akan berakhir dengan perbezaan gol tapi saya tidak fikir ia akan berlaku.“Saya fikir kami mesti menang perlawanan kami tapi memang satu rangsangan hebat untuk meraih keputusan ini. Kami ada empat perlawanan di gelanggang sendiri, tiga di gelanggang lawan dan mesejnya terus bermain seperti mereka lakukan.Dua sepakan penalti Mark Noble membolehkan Hammers mendahului, tetapi mereka turut berasa kapten United, Nemanja Vidic patut dibuang padang kerana mengasari Demba Ba ketika penyerang itu dalam laluan untuk menjaringkan gol.“Saya tidak melihatnya tapi dia pemain terakhir jadi jika ia satu kekasaran, ia sepatutnya kad merah,” kata pengurus West Ham, Avram Grant.Malah Ferguson sendiri mengakui Vidic bertuah kerana terus beraksi. Rooney mengambil kesempatan pada babak kedua apabila dia melencongkan satu sepakan percuma ke dalam gol dan juga menyempurnakan satu penamat hebat, gol ke-100 dalam liga buat United.Jaringan hatriknya hadir menerusi sepakan penalti namun reaksi mulutnya apabila dia meraikan gol itu menjurus kepada permintaan mohon maaf oleh pengulas perlawanan.Rooney mengakui dia teragak-agak ke mana untuk mengarahkan sepakan penalti selepas berlatih menentang Robert Green ketika latihan skuad kebangsaan England minggu lalu. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan