Selasa, 13 Disember 2011

Anak

Anak.....satu perkataan yang begitu indah bagi insan yang berpasangan. Ramai yang berkeinginan untuk memilikinya, namun tak semua yang bernasib baik. Semua bergantung kepada ketentuanNya. Sudah pasti anak datang bersama tanggung jawab yang perlu dipikul oleh pasangan yang memiliki anak. Namun tanggung jawab berat itulah yang indah untuk dipikul. Kita perlu menyayangi mereka, mendidik mereka menjadi orang yang taat kepada agama dan tuhan serta menjaga mereka sebaik mungkin seperti yang dipertanggung jawabkan kepada kita oleh penciptaNya. Kita tersenyum bila anak kita tersenyum ,kita bersedih bila anak menangis. Kita tak sanggup melihat anak kita terluka ataupun disakiti. Kita ingin penuhi semua keinginan mereka. Biar susah, apatah lagi bila kita mampu, pasti keinginan anak dipenuhi. Kita ingin melihat kehidupan anak kita dilimpahi dengan keceriaan dan kejayaan didunia dan akhirat. Tapi membentuk merekalah adalah sesuatu perkara yang susah. Tiada kitab ataupun buku panduan yang boleh kita jadikan panduan. Akal fikiran dan agama lah yang boleh kita jadikan panduan untuk mendidik mereka. Bak kata pepatah lama " Sayangkan bini tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan ". Jika difikirkan dengan teliti ada benarnya pepatah ini. Tidak perlu kita memenuhi semua permintaan mereka. Takut apabila suatu masa nanti kita sudah tidak mampu memenuhi segala kehendak mereka. Tentunya keadaan akan menjadi sukar untuk kita menyelesaikan segala kerumitan tersebut. Anak tentunya meragam. Tapi kita perlu kuatkan semangat kerana dibimbangi anak tidak pandai untuk berdikari sekiranya semua keperluan disediakan oleh kita. Biarlah mereka kecewa sekejap daripada kita kecewa akibat kegagalan kita mendidik mereka menjadi manusia berguna. Anak yang berfikiran waras akan sedar suatu masa nanti kerana setiap perbuatan kita adalah untuk kebaikan mereka.