Ahad, 20 November 2011

Aku Berjanji......


Semua manusia pernah berjanji…Janji dibuat dengan bermacam-macam tujuan dan cara. Tak kiralah sama ada berbentuk kebaikan ataupun cenderung kepada keburukan. Dibawah ini beberapa keadaan ataupun janji yang telah dibuat oleh kita semua, antaranya :-

1. Janji kepada Tuhan – Kita berjanji akan menjadi manusia yang baik dan taat kepada agama. Kita berjanji akan mengikut segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Namun hakikatnya banyak juga yang kita ingkari segala suruhan dan laranganNya.

2. Janji kepada Rasul – Kita berjanji akan mengikut segala ajarannya dan meninggalkan segala larangan serta menyembah tuhan yang satu. Hakikatnya sembahyang lima waktu pun begitu payah nak cukup lima waktu sehari.

3. Janji kepada Ibu bapa – Kita berjanji akan taat kepada ibu bapa selagi hayat dikandung badan. Kita sedar merekalah yang melahir dan membesarkan kita. Namun hakikatnya kita kerap mengecewakan dan menghampakan mereka. Namun mereka sentiasa memaafkan kita.

4. Janji kepada Isteri – Kita berjanji akan menjaga dan membimbing mereka ke jalan yang benar dan diredai oleh tuhan. Namun ramai juga dikalangan kita yang gagal memikul tanggung jawab. Kita gagal menjadi seorang pemimpin dalam rumahtangga dan sebagai seorang suami yang baik.

5. Janji kepada Suami – Kita berjanji akan menjadi seorang isteri yang taat dan solehah. Tanggung jawab menjaga maruah suami dan makan minum serta pakaian suami kita gagal penuhi.

6. Janji kepada anak – Kita berjanji akan menjaga, mendidik, membimbing dan membesarkan mereka dengan cara yang baik dan diredai oleh tuhan. Namun hakikatnya ramai juga dikalangan kita gagal menggalas tanggung jawab itu. Anak terbiar mencari cara hidup tanpa bimbingan yang secukupnya dari kita.

7. Janji kepada Tunang – Kita berjanji akan menjaga hubungan seperti yang diredai oleh tuhan dan direstui oleh keluarga. Kita berjanji untuk setia dalam perhubungan ini. Namun hakikatnya tidak semua yang ikhlas dan jujur dalam tempoh ini. Ada yang curang dan ada juga melanggari batas-batas agama walaupun belum diijab kabulkan.

8. Janji kepada kawan – kita berjanji akan menjadi kawan yang baik dan tidak mengkhianati nilai-nilai persahabatan yang ditanam. Kita akan menjaga batas susila sebagai seorang kawan agar tidak menyakiti hati dan perasaan seorang kawan.

9. Janji kepada majikan – Kita berjanji akan menjadi pekerja yang baik dan mengikuti segala peraturan yang ditetapkan oleh majikan. Kita berjanji akan berusaha meningkatkan produktiviti dari masa ke semasa. Namun ramai yang lalai menunaikan tanggung jawab ini.

10. Janji kepada Jiran – Kita berjanji akan menjadi jiran yang baik dan menjaga tatasusila kejiranan. Hubungan kejiranan penting dalam sesebuah masyarakat. Namun kini ramai yang mengabaikannya dan melupakan amalan ini. Masing-masing membuat hal sendiri. Jiran diperlukan hanya dikala susah.

11. Janji kepada Masyarakat – Kita berjanji akan menjadi ahli masyarakat yang baik. Kita berjanji akan mengutamakan nilai-nilai kemasyarakatan bagi mengujudkan suasana yang harmoni dan tenteram serta aman. Kita akan menghormati hak-hak masyarakat bagi tujuan yang baik.

12. Janji kepada negara – Kita berjanji akan menjadi seorang warga negara yang baik dan mengikut peraturan/perundangan yang sedia ada. Kita juga berjanji akan menjaga kedaulatan negara kita tanpa balasan. Kesetiaan menjadi tunjang kepada janji kita kepada negara. Namun ramai juga yang mementingkan diri sendiri dengan menggadai maruah negara kepada negara lain.

13. Janji kepada diri sendiri – Kita berjanji akan menjadi seorang manusia yang baik dan taat kepada agama, ibu bapa, bangsa dan negara. Kita berjanji akan berusaha menggapai cita-cita yang ditanam sekian lama. Namun ramai yang terkandas dan membinasakan diri sendiri.

14. Janji kepada Bank – Kita berjanji akan melunaskan segala pinjaman yang dibuat seperti perjanjian yang dipersetujui. Namun ramai yang gagal memenuhi janji yang dimeterai.

15. Janji kepada Guru – Kita berjanji akan memanfaatkan segala ilmu yang diberi dengan sebaik mungkin kearah kebaikan. Namun ramai yang menyalah guna ilmu kearah kejahatan. Guru mendidik kita supaya menjadi insan yang baik dan berguna kepada agama bangsa dan negara. Tapi kita ingkar kerana ingin memenuhi hawa nafsu yang bergelora.

16. Janji kepada seorang abang/kakak – Kita berjanji akan menjadi seorang adik yang baik dan mendengar nasihat. Kita juga berjanji akan membuat abang/kakak bangga mempunyai seorang adik seperti kita. Namun ramai juga yang membuat abang/kakak sakit hati dengan karenah kita.

17. Janji kepada seorang adik – Kita berjanji akan melindungi dan membimbing adik menjadi seorang yang baik dan Berjaya. Namun ramai yang tidak memperdulikan adik dan membiarkan mereka mengikut naluri sendiri tanpa nasihat dari seorang abang/kakak.

18. Janji kepada kekasih – Kita berjanji untuk menjadi seorang kekasih yang setia dan tidak curang. Sentiasa menjaga hati pasangan serta baik terhadap mereka. Namun ada juga yang mempunyai muslihat dibelakang pasangan masing-masing. Bagi yang mempunyai pasangan yang baik, sentiasa bersyukur dan memohon dijauhi dari anasir-anasir yang tidak baik. Terimalah pasangan seadanya sekiranya mempunyai kekurangan dan bersikap pemaaf serta sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik setiap kali kesilapan dibuat.

Ini adalah beberapa janji yang biasa dilakukan oleh kita semua secara amnya. Sama ada betul ataupun tidak, anda yang menilainya……..